P e n g e n a l a n

Sebagai muqadimah, blog ini diwujudkan bertujuan untuk mengisahkan tentang hobi terbaru teman iaitu memelihara arnab sebagai binatang peliharaan. Minat untuk memiliki sepasang arnab telah lama terbuku di benak hati. Cuma masa dan tanggungjawab saja yang tidak beberapa mengizinkan untuk teman mulakan hobi ini. Bersempena dengan nama lokasi kediaman teman di Cluster 7, Taman Putra Perdana Puchong, dengan ini secara rasminya teman namakan blog ini sebagai Cluster 7 Rabbitry. Berserta alamat laman blog rasminya iaitu http://cluster7rabbitry.blogspot.com. Semoga blog ini dapat menyajikan siri-siri pengalaman dan informasi bermanfaat tentang hobi memelihara arnab.
________________________________________________________________________________________________________________________________

29.9.11

Gambar Bulan September Siri 2: Reban Arnab

Sekadar pengisian tentang photo reban di waktu lapang. Reban arnab teman telah diubah lokasi ke tepi belakang rumah. Sebelum ini reban tersebut berada di hadapan rumah. Saja nak tukar angin dan citarasa. Boleh tahan jugalah berat reban tu nak diangkat. Kalau setakat dua orang jenuh juga nak memerah kudrat tenaga. Nasib baik pengawal-pengawal keselamatan yang menjaga kawasan Cluster 7 ni sanggup untuk tolong mengangkat. Semoga arnab-arnab teman di Cluster7 Rabbitry ni akan lebih selesa dan terhibur dengan sedikit penolahan persekitaran baru.





~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

27.9.11

Gambar Bulan September Siri 1: Anak Arnab

Berikut adalah gambar-gambar anak arnab yang lahir pada awal September lalu. Daripada tujuh ekor yang lahir, inilah baki tiga ekor adik beradik yang masih hidup serta dalam keadaan sihat walafiat. Usia mereka pun hampir menjangkau sebulan. Sangat aktif bergasak dan montel comel.

~

~

~

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

23.9.11

Panduan Menamakan Arnab

Semenjak hari pertama kelahiran sulong anak-anak arnab di Cluster7 Rabbitry, teman belum lagi menamakan anak-anak arnab tersebut. Jenuh juga memikiorkannya. Apa pendapat dan cadangan dari para pembaca setia blog teman? Kadang-kala ada nama yang diberikan cukup menarik dan ada juga yang melucukan. Mungkin sesetengah kita memilih nama arnab berdasarkan watak atau rupa fizikal arnab tersebut.

Izinkan teman untuk berkongsi tips serta panduan mudah untuk menamakan arnab-arnab anda sekalian. Antara nama-nama yang biasa diguna adalah berdasarkan daripada kategori panduan berikut:

1. Jenama : Gucci, Buffel, Hugo, Bonia, Dior, Armani, Anna Sui, Nike, Casio.

2. Bintang filem/karakter kartun : Bruce, Miniey, Stitch, Pluto, Wall E, Rocky, Rango, Tweety, Thor.

3. Coklat/gula-gula : Vanilla, Milo, Vico, Truffle, Caramel, Candy, Latte, Koko, Mocha.

4. Buah-buahan : Melon, Lemon, Berry, Kiwi, Laici, Longan, Passion, Olive, Apple, Pear, Peach, Pumkin.

5. Warna : Minty, Whity, Blacky, Pinky, Purple, Pearl, Brownie, Oren, Creamy, Greeny.

6. Zodiac : Pisces, Virgo, Leo, Libra, Gemini, Aquarius, Taurus.

7. Bunga : Dahlia, Daisy, Rossy, Jasmin, Lily, Orchid, Blossom, Tulip, Citrus, Lotus.

dan banyak lagi. . . .

Secara kesimpulannya, pada pandangan teman, biarlah nama yang diberikan selesa diungkap, mudah disebut, ringan dilafaz, sedap dipanggil dan senang untuk diingati. Sekadar perkongsian. :)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


20.9.11

Cerita Dan Pengalaman Yang Dukacita

Merujuk kepada kiriman (entry) sebelum ini tentang kelahiran sulong 6 ekor anak arnab. Dukacita dimaklumkan bahawa daripada 6 ekor anak arnab tersebut, 3 daripadanya telah mati akibat dimakan oleh kucing liar. Peristiwa sedih ini berlaku pada dua kejadian yang berasingan. Kejadian pertama berlaku selang beberapa hari arnab tersebut dilahirkan yang mengakibatkan 2 ekor daripadanya mati. Semasa rutin memeriksa arnab teman di awal pagi, teman dapati 2 ekor anak arnab tersebut mati dalam keadaan tinggal kepala sahaja tanpa ada saki-baki badannya.

Pada awalnya teman sangkakan arnab tersebut telah mati dimakan oleh ibunya sendiri kerana tiada bukti yang menunjukkan angkara kucing. Bahkan tidak boleh dikatakan anasir-anasir haiwan lain kerana arnab-arnab tersebut telah dikurung selamat di dalam rebannya. Justeru ibunya dituduh, didakwa serta adalah 1oo% disabitkan bersalah.

Pada peristiwa ke dua yang berikutnya, juga selang beberapa hari yang jatuh pada hari Ahad. Alhamdulillah, teman dapat tahu angkara siapa yang bertanggungjawab terhadap kematian ini kerana kejadian ke dua ini berlaku depan mata teman. Dalam waktu tengah hari sedang teman menonton tv di ruang tamu rumah, teman dikejutkan dengan bunyi teriakan dan pekikan arnab di luar rumah. Dalam keadaan kelam kabut bergegas menuju ke halaman reban, teman dapati seekor kucing liar menarik sambil menggigit seekor anak arnab dari bawah reban. Teman sedaya upaya cuba untuk menangkap kucing tersebut tetapi kelicikkan kucing tersebut tiada tandingan dengan kepantasan manusia.

Walaupun kucing itu tidak berjaya melarikan atau memakan arnab tersebut, teman sedikit terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan nyawanya kerana badannya telah dikopek separuh sehingga menampakkan isi perut yang menyebabkan ia mati serta-merta. Dengan terjadinya 2 peristiwa tersebut maka teman boleh simpulkan bahawa kematian anak-anak arnab tersebut bukan dari akibat ibunya tetapi oleh kucing yang secara teorinya menarik kaki-kaki anak arnab yang terjuntai dari pelantar (platform) lantai kayu yang dijarakkan sedikit untuk ruang lubang udara.

Justeru bagi mengelakkan malapetaka seperti ini berlaku lagi, teman telah memindahkan anak-anak arnab tersebut bersama ibunya ke dalam rumah untuk beberapa jangka waktu. Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran khasnya bagi teman, dan pedoman bagi para pembaca sekalian. Diharap baki 3 ekor anak arnab ini dapat membesar dengan selamat dan sihat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

16.9.11

Kelahiran Sulong

Sejarah telah tercipta di Cluster7 Rabbitry. Buat julung kalinya, teman telah menerima kelahiran arnab yang sulong dan pertama. Pada hari Ahad bersamaan 5 September 2011, arnab teman telah malahirkan 7 ekor anak arnab. Hanya 6 ekor yang selamat dan hidup manakala seekor lagi mati dalam kandungan. Jangkaan arnab teman yang mengandung untuk melahirkan anak telah dapat teman duga dengan tanda-tandanya seperti mencabut bulu badan serta mengorek lubang-lubang. Harapan agar mereka sihat, selamat dan terus kekal hidup hingga dewasa.

Enam ekor anak arnab yang baru dilahirkan dan pertama di Cluster7 Rabbitry.


Seekor mati dalam kandungan yang masih diselaputi.


Inilah bondanya yang beberapa jam lepas telah melalui proses kelahiran pertamanya.

1.9.11

Reban Baru Sempena Aidilfitri


Sempena bulan Syawal dan sambutan raya Aidilfitri ini, arnab-arnab teman di Cluster 7 Rabbitry telah dilengkapi dengan sebuah reban arnab. Reban tersebut telah direka-bentuk seakan sebuah rumah kampung melayu tradisional sesuai dengan tema dan suasana Aidilfitri. Selamat Hari Raya kepada semua pembaca dan pelawat sekalian.







~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~