P e n g e n a l a n

Sebagai muqadimah, blog ini diwujudkan bertujuan untuk mengisahkan tentang hobi terbaru teman iaitu memelihara arnab sebagai binatang peliharaan. Minat untuk memiliki sepasang arnab telah lama terbuku di benak hati. Cuma masa dan tanggungjawab saja yang tidak beberapa mengizinkan untuk teman mulakan hobi ini. Bersempena dengan nama lokasi kediaman teman di Cluster 7, Taman Putra Perdana Puchong, dengan ini secara rasminya teman namakan blog ini sebagai Cluster 7 Rabbitry. Berserta alamat laman blog rasminya iaitu http://cluster7rabbitry.blogspot.com. Semoga blog ini dapat menyajikan siri-siri pengalaman dan informasi bermanfaat tentang hobi memelihara arnab.
________________________________________________________________________________________________________________________________

3.10.11

Kiriman al-Falfa Hay Dari Johor

Pada hari Jumaat minggu lepas bersamaan 30 September, teman telah menerima hantaran. Bukan hantaran meminang. Teman ni dah berumahtangga dan berkeluarga. Hantaran melalui pos laju tersebut merupakan sebungkus kotak sebesar sebuah toster dengan berat lebih kurang 5.250 kg. Apa gamaknya tu? Inilah dia al-falfa hay yang teman pesan dari Johor Bahru. Sukran kepada saudara Nordin Bin Sidin, empunya laman web Arnab Pelangi yang telah menyediakan pelbagai barangan keperluan arnab. Harga alfalfa hay yang teman beli dari beliau pun adalah yang paling murah teman temui serta berkualiti tinggi. Bak kata orang arab mumtaz!. Bukan main suka arnab-arnab teman melahap alfalfa hay tu. Macam makan waktu berbuka puasa pula. Terbaik. :)


Inilah bungkusan yang diterima. Besar. Sama saiz dengan microwave teman.
~
Segar dan ranggup.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

29.9.11

Gambar Bulan September Siri 2: Reban Arnab

Sekadar pengisian tentang photo reban di waktu lapang. Reban arnab teman telah diubah lokasi ke tepi belakang rumah. Sebelum ini reban tersebut berada di hadapan rumah. Saja nak tukar angin dan citarasa. Boleh tahan jugalah berat reban tu nak diangkat. Kalau setakat dua orang jenuh juga nak memerah kudrat tenaga. Nasib baik pengawal-pengawal keselamatan yang menjaga kawasan Cluster 7 ni sanggup untuk tolong mengangkat. Semoga arnab-arnab teman di Cluster7 Rabbitry ni akan lebih selesa dan terhibur dengan sedikit penolahan persekitaran baru.





~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

27.9.11

Gambar Bulan September Siri 1: Anak Arnab

Berikut adalah gambar-gambar anak arnab yang lahir pada awal September lalu. Daripada tujuh ekor yang lahir, inilah baki tiga ekor adik beradik yang masih hidup serta dalam keadaan sihat walafiat. Usia mereka pun hampir menjangkau sebulan. Sangat aktif bergasak dan montel comel.

~

~

~

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

23.9.11

Panduan Menamakan Arnab

Semenjak hari pertama kelahiran sulong anak-anak arnab di Cluster7 Rabbitry, teman belum lagi menamakan anak-anak arnab tersebut. Jenuh juga memikiorkannya. Apa pendapat dan cadangan dari para pembaca setia blog teman? Kadang-kala ada nama yang diberikan cukup menarik dan ada juga yang melucukan. Mungkin sesetengah kita memilih nama arnab berdasarkan watak atau rupa fizikal arnab tersebut.

Izinkan teman untuk berkongsi tips serta panduan mudah untuk menamakan arnab-arnab anda sekalian. Antara nama-nama yang biasa diguna adalah berdasarkan daripada kategori panduan berikut:

1. Jenama : Gucci, Buffel, Hugo, Bonia, Dior, Armani, Anna Sui, Nike, Casio.

2. Bintang filem/karakter kartun : Bruce, Miniey, Stitch, Pluto, Wall E, Rocky, Rango, Tweety, Thor.

3. Coklat/gula-gula : Vanilla, Milo, Vico, Truffle, Caramel, Candy, Latte, Koko, Mocha.

4. Buah-buahan : Melon, Lemon, Berry, Kiwi, Laici, Longan, Passion, Olive, Apple, Pear, Peach, Pumkin.

5. Warna : Minty, Whity, Blacky, Pinky, Purple, Pearl, Brownie, Oren, Creamy, Greeny.

6. Zodiac : Pisces, Virgo, Leo, Libra, Gemini, Aquarius, Taurus.

7. Bunga : Dahlia, Daisy, Rossy, Jasmin, Lily, Orchid, Blossom, Tulip, Citrus, Lotus.

dan banyak lagi. . . .

Secara kesimpulannya, pada pandangan teman, biarlah nama yang diberikan selesa diungkap, mudah disebut, ringan dilafaz, sedap dipanggil dan senang untuk diingati. Sekadar perkongsian. :)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


20.9.11

Cerita Dan Pengalaman Yang Dukacita

Merujuk kepada kiriman (entry) sebelum ini tentang kelahiran sulong 6 ekor anak arnab. Dukacita dimaklumkan bahawa daripada 6 ekor anak arnab tersebut, 3 daripadanya telah mati akibat dimakan oleh kucing liar. Peristiwa sedih ini berlaku pada dua kejadian yang berasingan. Kejadian pertama berlaku selang beberapa hari arnab tersebut dilahirkan yang mengakibatkan 2 ekor daripadanya mati. Semasa rutin memeriksa arnab teman di awal pagi, teman dapati 2 ekor anak arnab tersebut mati dalam keadaan tinggal kepala sahaja tanpa ada saki-baki badannya.

Pada awalnya teman sangkakan arnab tersebut telah mati dimakan oleh ibunya sendiri kerana tiada bukti yang menunjukkan angkara kucing. Bahkan tidak boleh dikatakan anasir-anasir haiwan lain kerana arnab-arnab tersebut telah dikurung selamat di dalam rebannya. Justeru ibunya dituduh, didakwa serta adalah 1oo% disabitkan bersalah.

Pada peristiwa ke dua yang berikutnya, juga selang beberapa hari yang jatuh pada hari Ahad. Alhamdulillah, teman dapat tahu angkara siapa yang bertanggungjawab terhadap kematian ini kerana kejadian ke dua ini berlaku depan mata teman. Dalam waktu tengah hari sedang teman menonton tv di ruang tamu rumah, teman dikejutkan dengan bunyi teriakan dan pekikan arnab di luar rumah. Dalam keadaan kelam kabut bergegas menuju ke halaman reban, teman dapati seekor kucing liar menarik sambil menggigit seekor anak arnab dari bawah reban. Teman sedaya upaya cuba untuk menangkap kucing tersebut tetapi kelicikkan kucing tersebut tiada tandingan dengan kepantasan manusia.

Walaupun kucing itu tidak berjaya melarikan atau memakan arnab tersebut, teman sedikit terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan nyawanya kerana badannya telah dikopek separuh sehingga menampakkan isi perut yang menyebabkan ia mati serta-merta. Dengan terjadinya 2 peristiwa tersebut maka teman boleh simpulkan bahawa kematian anak-anak arnab tersebut bukan dari akibat ibunya tetapi oleh kucing yang secara teorinya menarik kaki-kaki anak arnab yang terjuntai dari pelantar (platform) lantai kayu yang dijarakkan sedikit untuk ruang lubang udara.

Justeru bagi mengelakkan malapetaka seperti ini berlaku lagi, teman telah memindahkan anak-anak arnab tersebut bersama ibunya ke dalam rumah untuk beberapa jangka waktu. Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran khasnya bagi teman, dan pedoman bagi para pembaca sekalian. Diharap baki 3 ekor anak arnab ini dapat membesar dengan selamat dan sihat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

16.9.11

Kelahiran Sulong

Sejarah telah tercipta di Cluster7 Rabbitry. Buat julung kalinya, teman telah menerima kelahiran arnab yang sulong dan pertama. Pada hari Ahad bersamaan 5 September 2011, arnab teman telah malahirkan 7 ekor anak arnab. Hanya 6 ekor yang selamat dan hidup manakala seekor lagi mati dalam kandungan. Jangkaan arnab teman yang mengandung untuk melahirkan anak telah dapat teman duga dengan tanda-tandanya seperti mencabut bulu badan serta mengorek lubang-lubang. Harapan agar mereka sihat, selamat dan terus kekal hidup hingga dewasa.

Enam ekor anak arnab yang baru dilahirkan dan pertama di Cluster7 Rabbitry.


Seekor mati dalam kandungan yang masih diselaputi.


Inilah bondanya yang beberapa jam lepas telah melalui proses kelahiran pertamanya.

1.9.11

Reban Baru Sempena Aidilfitri


Sempena bulan Syawal dan sambutan raya Aidilfitri ini, arnab-arnab teman di Cluster 7 Rabbitry telah dilengkapi dengan sebuah reban arnab. Reban tersebut telah direka-bentuk seakan sebuah rumah kampung melayu tradisional sesuai dengan tema dan suasana Aidilfitri. Selamat Hari Raya kepada semua pembaca dan pelawat sekalian.







~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

18.8.11

Gambar Bulan Ogos Siri 3: My Flemish Giant

Perkongsian di bulan Ramadhan. Satu-satunya koleksi arnab Fremish Giant teman dengan gaya sakan. Manja dan suka sangat berlari-lari.


Satu-satunya gambar Flemish Giant teman dengan aksi berdiri. Jenuh menunggu dia nak berdiri.


Posing santai pra-raya.


Dah penat bergaya. Tunggu habuan pallet pula.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


15.8.11

Keahlian ARBA

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Penantian seminggu lebih telah berhasil. Seminggu lebih itu teman telah memohon untuk menjadi keahlian dalam sebuah organisasi. Akhirnya pada hari ini teman telah menerima sepucuk surat yang datangnya jauh menjangkau ribuan kilometer. Ia merupakan surat penerimaan keahlian organisasi tersebut. Keahlian yang teman maksudkan itu adalah dari American Rabbit Breeders Association (ARBA). Semoga dengan keahlian ini, teman dapat menimba lebih pengetahuan dalam membiak dan memelihara arnab.

~~
Sampul surat yang diterima. Begitu teruja tak kesabaran nak buka.

~~
Kad keahlian berserta buku panduan yang perlu dikhatam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

11.8.11

1001 kos untuk arnab anda

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pernahkah anda membuat penilaian atau bajet wang keluar untuk arnab kesayangan anda? Disini teman hanya ingin berkongsi diantara 1001 "situasi andaian" bagaimana permulaan wang anda dibelanjakan terhadap arnab anda. Adakah anda hampir menyamai, pernah atau sedang mengalami situasi seperti kisah berikut:

Ia bermula dengan pemberian hadiah yang merupakan seekor arnab pada hari lahir anda. Selang beberapa hari anda tekad untuk membeli seekor lagi arnab untuk dijadikan pasangan teman kepada arnab yang bersendirian itu. Kos - RM150.OO

Jadi tanpa membuang masa anda membeli set permulaan (starter kit) untuk arnab-arnab anda.
Sangkar - RM80.00
Bekas makan dan air - RM10.00
Pallet - RM15.00
Hay - RM15.00

Dengan sedikit pencarian ilmu di internet, anda dapati arnab boleh dilatih buang najis setempat (litter trained). Lalu anda terus ke kedai binatang yang berhampiran.
Bekas najis - RM20.00
Mainan untuk digigit (chew toys) - RM10.00

Selang beberapa hari, anda begitu teruja dengan hobi memelihara arnab lantas berhajat untuk menjadi sebahagian daripada ahli ARBA. Lantas anda daftarkan diri secara online - Kos -USD30.00 bersamaan RM100.00.

Sebulan telah berlalu tanpa diduga arnab anda telah melahirkan 5 ekor anak arnab. Anda mengelabah lalu menghantar semua arnab-arnab tersebut termasuk bapanya sekali ke klinik haiwan (vet) bagi menguruskan apa yang patut. Kos - RM80.00

Memandangkan bilangan jagaan arnab anda semakin bertambah, maka terpaksalah anda membeli sangkar yang jauh lebih besar. Disamping itu penjual di kedai binatang juga menasihatkan agar anda membeli pagar playpen supaya arnab anda dapat bermain-main di atas permukaan rumput halaman luar rumah.
Sangkar besar - RM380.00
Pagar playpen - RM120.00

Secara kasarnya, dalam tempoh dua bulan pertama menjaga dan memelihara arnab. Anda telah membelanjakan kos secara purata tambah tolak (plus minus) sebanyak RM11OO.

Masya-Allah banyaknya. Al-kisah sekadar nak dijadikan cerita dongeng sahaja, kalau dah minat "nak seribu daya wang ringgit, tak nak seribu dalih".
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

7.8.11

Gambar Bulan Ogos Siri 2 - Oddy's

Berikut adalah gambar-gambar arnab Netherland Dwarf yang diperolehi dari Oddy (Mohd Rusydi)
~
Bermain-main di waktu petang dalam ruangan playpen

~
Doe . Broken Chesnut . 24Jun2011

~
Buck . Black Otter . 24Jun2011
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

5.8.11

Gambar Bulan Ogos Siri 1 - Angie's

Berikut adalah gambar-gambar Netherland Dwarf yang diperolehi dari Nice Capture Rabbitry (Angie's) .

~
Di halaman teratak mereka

~
Doe . Warna Smoke Pearl

~
Buck . Warna Monarch
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

3.8.11

Keceriaan berlipat ganda

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Al-kisah pada hari ini, Putra Perdana Rabbitry bertambah meriah kerana telah menerima keahlian baru iaitu sepasang arnab jenis Netherland Dwarf. Berbeza dengan entry teman yang lepas, arnab ini berusia tiga bulan (D.O.B 24 Jun 2011) dan merupakan yang termuda di rabittry ini. Dengan warna badan masing-masing broken chesnut (doe) dan black otter (buck). Notis atau iklan penjualan arnab tersebut telah teman temui di laman facebook saudara Mohd Rosydi Bin Mohd Ridzuan. Ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada beliau kerana menjual arnab tersebut kepada teman dengan harga yang berpatutan serta kecekapannya menguruskan penghantaran dari Kedah ke Selangor dalam tempoh masa semalaman sahaja.

Penghantaran arnab tersebut agak unik berbanding penggunaan khidmat biasa seperti pos laju, pos ekspres dan kurier yang lain. Keunikkannya ialah menggunakan khidmat bas express. Bas bertolak dari Kedah jam 10 malam dan transit ke Shah Alam jam 5 pagi sebelum destinasi terakhir ke seremban bertolak jam 6 pagi. Dalam perjalanan ke Seremban itulah penyerahan arnab dilakukan dimana teman bertemu dengan pemandu bas tersebut di kawasan rehat dan rawat USJ. Alhamdulillah arnab-arnab tersebut berada dalam keadaan sihat dan selamat sepanjang perjalanan.

Semoga dengan adanya ahli-ahli baru ini, kisah-kisah hidup mereka dapat teman catitkan di dalam blog ini untuk tatapan pembaca sekalian.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

2.8.11

Keceriaan kembali menyinar

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Lanjutan kisah kurang ceria dari entry blog teman semalam, keceriaan tampak kembali subur menyinari pada hari ini. Pada hari ini teman dianugerahkan sepasang arnab jenis Netherland Dwarf. Hasil pencarian di laman web telah menemukan teman dengan seorang pencinta arnab yang cukup berkarisma iaitu Angie Tan dari Nice capture Rabittry. Terima kasih Angie kerana sudi menjual sepasang induk Netherland Dwarf serta bersusah-payah menghantar arnab tersebut hingga ke depan rumah teman.

Inilah secara rasminya dalam sejarah hidup teman, memiliki dan memelihara arnab jenis Netherland Dwarf. Seronok sudah pasti, gemuruh sudah tentu ada dek penantian kelahiran sulung Netherland Dwarf di rabittry teman ini tidak lama lagi. Mungkin agak berbeza sedikit dari segi penjagaan berbanding dengan arnab jenis pedaging. Maka pencarian ilmu, maklumat dan informasi harus dijalankan dengan penuh teliti. Insya-Allah generasi pedigree akan teman wujudkan suatu hari nanti.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.8.11

1 Ramadan dengan berita yang kurang ceria.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Salam Ramadhan. Pada 1 Ramadhan hari ini, teman menyambutnya dengan hati yang sedikit pilu. Kepiluan itu disebabkan salah seekor (doe) arnab teman telah hilang. Sama ada lari menghilangkan diri atau telah dicuri masih belum dipastikan lagi.


Al-kisahnya hari minggu yang lalu teman sekeluarga telah pergi balik kampung sempena menyambut ketibaan bulan puasa selama dua hari. Sebelum balik, teman telah pastikan arnab-arnab dimasukkan ke dalam sangkar dan diletakkan di bahagian patio luar rumah. Keesokkannya apabila pulang dari kampung, semasa teman parking kereta, didapati seekor arnab berkeliaran di halaman rumput rumah. Setelah diteliti dengan lebih perinci, arnab lagi seekor telah hilang dan tidak dapat dikesan walaupun di persekitaran rumah-rumah jiran.

Apa yang menghairankan teman, macam mana pintu sangkar yang ditutup secara kunci angsel boleh terbuka? Kes kecuaian? Tidak mungkin arnab itu boleh melolos, membolos dan melepaskan diri keluar dari rumah kerana teman dah periksa sepanjang pagar rumah tiada ruang atau lubang yang membolehkan arnab tersebut berbuat demikian. Melainkan diangkat memanjat pagar gate. Kes kecurian? Wallahu'alam. Siasatan masih dijalankan.

Maka hanya tinggal seekor sahajalah arnab (buck) teman buat sementara waktu ini. Keseorangan terpinga-pinga mencari pasangannya. Semoga dapat dipertemukan balik, InsyaAllah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

28.7.11

Part 1:Fakta yang perlu anda tahu tentang Arnab

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1. Arnab tidak boleh muntah atau memuntahkan- jadi berpuasa sebelum apa apa rawatan adalah tidak perlu

2. Arnab tidak berpeluh

3. Arnab mengimbangi suhu badannya dengan mengunakan telinga

4. Arnab tidak dapat bertahan dalam cuaca panas, tetapi boleh bertahan dalam cuaca sejuk

5. Arnab mempunyai 28 batang gigi

6. Terdapat 43 jenis arnab yang diluluskan oleh ARBA

7. Arnab mempunyai 18 jari kaki dan kuku - 4 jari kaki belakang dan 5 jari di kaki hadapan

8. Terdapat 5 warna mata yang dilulusakan oleh ARBA – Pink ( Bukan ruby atau red), Marble, Blue,Blue-Grey and Brown

9. Mana diantara berikut lahir pada tahun Arnab ? Albert Einstein, Angelina Jolie, Brad Pitt , Bob Hope – kesemua mereka lahir pada Tahun Arnab

10. 1915, 1927, 1939, 1951, 1963, 1975, 1987 , 1999 adalah tahun arnab , tahun arnab yang berikut adalah pada tahun 2011

11. Arnab boleh melompat melebihi 1 meter tinggi dan 3 meter jauh

12. Telinga arnab terpanjang dimiliki oleh American Rabbit, Nipper’s Geronimo dengan ukuran 31.125 inci panjang

13. Umur anab yang tertua direkodkan adalah 19tahun pada masa ia mati

14. Arnab terbesar adalah seberat 26 pounds

15. Jumlah anak yang dilahirkan oleh arnab paling banyak direkodkan pada tahun 1978 dan 1999 iaitu sebanyak 24 ekor

16. Terdapat 150 jenis warna arnab- selamat megumpul warna adik adik

17. Arnab dapat melihat kebelakang tanpa memusingkan kepalanya

18. Arnab tidak dapat melihat dengan kedua dua matanya

19. Arnab betina mempunyai 2 rahim yang berasingan , tetapi boleh menampung janin yang berlainan tahap matang pada masa yang sama

20. Arnab hanya menyusukan anak sekali sehari dan ini dilakukan hanya apabila arnab merasa selamat untuk masuk kedalam sarangnya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Part 2:Fakta yang perlu anda tahu tentang Arnab

  1. Arnab mempunyai kandungan protein yang paling tinggi.
  2. Kandungan lemak pula adalah yang paling rendah sekali iaitu lebih kurang 60% sahaja.
  3. Paras kolesterol dalam daging arnab jika kita bandingkan dengan ayam dan daging adalah jauh lebih rendah.
  4. Daging arnab dikategorikan sebagai daging putih.(white meat)
  5. Panggilan untuk arnab jantan dewasa dikenali sebagai Buck.
  6. Panggilan untuk arnab betina dewasa dikenali sebagai Doe.
  7. Panggilan untuk anak arnab pula dikenali sebagai Kittens.
  8. Tempoh matang bagi arnab betina ialah 4 - 5 bulan.
  9. Tempoh matang bagi arnab jantan pula adalah 5 - 6 bulan.
  10. Bilangan anak yang dilahirkan antara 4 hingga 12 ekor.
  11. Arnab bunting selama 30-35 hari.
  12. Arnab boleh mengawan semula dalam masa 48 jam selepas melahirkan anak.
  13. Anak arnab akan membuka mata dalam masa lebih kurang 10 hari.
  14. Purata berat matang bagi arnab ialah jantan 1.5 kg dan betina 1.8 kg.
  15. Umur arnab tertua yang pernah direkodkan adalah berusia 19 tahun.
  16. Arnab mempunyai 28 batang gigi.
  17. Arnab mempunyai keupayaan melompat setinggi 1 meter dan sejauh 3 meter.
  18. Umur arnab boleh menjangkau sehingga 12 tahun
  19. Arnab akan menghasilkan bunyi "purr" bila gembira.
  20. Arnab amat suka mengunyah, jadikan sediakan benda keras dalam reban anda.
  21. Arnab boleh dilatih untuk menggunakan tandas.
  22. Arnab hendaklah dijauhi daripada pemangsa, kabel elktrik dan bahan beracun.
  23. Arnab aktif makan pada sebelah malam. (lebih kurang 70%)
  24. Terdapat 72 spesis didunia yang telah dikenalpasti.
  25. Suhu badan arnab 38-40 darjah celcius.

Tip Pilihan Sangkar yang Sesuai

Memilih sangkar yang sesuai...
Arnab boleh dipelihara di dalam rumah mengikut citarasa penternak secara bebas mahupun di dalam sangkar. Arnab amat mudah dilatih mengunakan tandas khas seperti memelihara kucing dan anjing. Walaupun arnab anda telah dilatih bebas di dalam rumah dan tidak dikurung di dalam sangkar tetapi sangkar amatlah perlu kerana masih dianggap sebagai sarang atau tempat yang selamat baginya selain untuk memberi ruang keselesaan kepada arnab anda.
Terdapat berbagai jenis dan saiz sangkar dipasaran. Sama ada kecil atau besar, kebanyakannya dibina berlantaikan jaring untuk memastikan ia mudah dibersihkan untuk menjamin kebersihan ruang lingkup persekitaran arnab tersebut.
Untuk keselesaan arnab anda, saiz sangkar lebih besar adalah lebih baik. Sekiranya didapati arnab anda kebanyakan masanya terkurung di dalam sangkar, pastikan anda mendapatkan saiz sangkar yang cukup besar dan praktikal. Sebagai panduan saiz sangkar sebaiknya 4 kali ganda besarnya daripada saiz arnab.
Sekiranya anda menggunakan sangkar yang besar ianya memudahkan proses anda melatih arnab tersebut dan arnab anda bebas bergerak di dalamnya serta tidak stress. Kebanyakan sangkar dipasaran menggunakan jaring dawai/besi sebagai lantai bagi tujuan mudah untuk dibersihkan. Bagaimanapun ianya kurang selesa kepada arnab anda terutamanya yang arnab jenis besar dan berat kerana ianya boleh menyebabkan masalah seperti “sores hocks”( menyebabkan kaki berdarah dan boleh menyebabkan menanah, ini menanbahkan rasa tidak selesa arnab anda).
Sekiranya anda mengunakan sangkar sebegini dan arnab anda pula jenis baka besar dan berat, adalah dinasihat agar anda meletakan sekeping papan atau jubin seramik atau apa sahaja bahan lain untuk mewujudkan lantai solid bagi arnab anda berpijak. Bagi memudahkan sisa kumbahan jatuh terus ke bawah, dicadangkan agar diletakan jaring plastik bersaiz ½”x½“ atau plastik anti gelincir yang berlubang-lubang seperti yang sering digunakan di bilik mandi untuk dijadikan sebagai lantai sangkar.
Antara lain, pastikan anda memilih sangkar yang pintunya cukup luas dan lebar bagi memudahkan anda menjalankan proses pembersihan atau pun arnab keluar masuk sangkar. Sekiranya anda seorang yang kreatif dan mahir dalam pembinaan sangkar ianya lebih praktikal dan menjimatkan kos kerana ia boleh di rekabentuk mengikut kehendak penternak.

Tip Rutin Penjagaan Arnab

Penjagaan Seharian.
Awal Pagi :
Berikan bekalkan makanan yang baru dan segar serta isi bekas minuman dengan air minuman yang bersih. Bersihkan segala najis serta kotoran. Periksa kuantiti makanan yang telah dimakan dan membersihkan najis arnab merupakan rutin harian yang sepatutnya anda lakukan. Periksa juga samada botol minuman berfungsi dengan baik atau tidak.

Petang :
Tambah makanan(pallet) dan bekalkan rumput "hay"/Alfalfa/timothy atau daun keledek.

Malam :
Tambah makanan yang baru dan segar serta isi bekas minuman dengan air minuman yang segar. Bersihkan segala najis serta kotoran.Periksa jika makanan telah dimakan dan najis adalah normal. Periksa juga jika botol minuman berfungsi dengan baik. Arnab akan makan lebih banyak pada waktu malam kira–kira 75% berbanding siang hari.

Penjagaan Mingguan
  • · Bersihkan sangkar arnab anda. Sikat bulu/ kemaskan bulu arnab anda (jika arnab anda baka yang berbulu tebal dan panjang seperti angora).
  • · Basuh botol minuman arnab anda dengan berus yang sesuai.
  • · Berikan arnab anda sedikit makanan tambahan seperti buah-buahan atau sayuran tetapi hendaklah di dalam kuantiti yang sedikit saja.

Penjagaan Bulanan
  • Bersih dan cuci sangkar arnab anda dengan menggunakan ubat pembasmi kuman seperti dettol ataupun clorox untuk mencegah pembiakan bakteria. Anda juga harus memeriksa kuku arnab anda. Sekiranya panjang, anda haruslah memotong kuku arnab tersebut supaya anda tidak dicakar dengan kuat ketika mengangkatnya. Potong bahagian hujung kuku sahaja. Selain itu,pemeriksaan terhadap gigi arnab juga perlu dilakukan kerana gigi arnab akan tumbuh sepanjang hayatnya dan kerana itulah anda harus menyediakan sesuatu makanan yang agak keras seperti dahan pohon, buah-buahan untuk arnab anda mengigitnya.

23.7.11

Siri Pertama Muat Turun Gambar Arnabku



Inilah gambar arnab peliharaan teman. Boleh dikatakan kembar seiras hampir 95%. Hingga ke saat ni teman mengambil masa untuk mengecam yang mana satu jantan dan betina melainkan meneliti alat kemaluan mereka.

22.7.11

Pengenalan

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sebagai muqadimah, blog ini diwujudkan bertujuan untuk mengisahkan tentang hobi terbaru teman iaitu memelihara arnab sebagai binatang peliharaan. Minat untuk memiliki sepasang arnab telah lama terbuku di benak hati. Cuma masa dan tanggungjawab saja yang tidak beberapa mengizinkan untuk teman mulakan hobi ini.

Tetapi pada bulan Jun yang lepas, bermulalah babak baru dalam hidup teman kerana berjaya memiliki sepasang arnab pedaging yang telah dijual dalam suatu karnival ala-ala jom heboh. Berita yang kurang enak didengar adalah baka dan umur arnab tersebut tidak dapat dikenalpasti. Pun begitu daripada pengamatan teman, bolehlah secara tidak rasminya teman kategorikan arnab teman dari baka chincilla atau flamish giant serta berumur dalam lingkungan 7 ke 8 bulan. Nama yang diberi adalah Abu dan Afi.

Bersempena dengan nama lokasi kediaman teman di Taman Putra Perdana Puchong, dengan ini secara rasminya teman namakan blog ini sebagai Cluster7 Rabittry. Berserta alamat laman blog rasminya iaitu http://Cluster7rabbitry.blogspot.com. Semoga blog ini dapat menyajikan siri-siri kisah pengalaman dan informasi bermanfaat tentang hobi memelihara arnab.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~